Pages

Subscribe:

Sunday, July 31, 2011

Teman


Tanpa teman, Bagai langit tiada awan
Tanpa teman, Seperti Bumi
tiada hiasan
Tanpa teman, Umpama lautan
tiada ikan
Tanpa teman, Persis cakerawala
tiada aturan
Di manapun kita berkeliaran
Pasti kita perlukan teman

Di permulaannya dengan perkenalan
Di pertengahannya pelbagai ujian
Di akhirnya adalah ketentuan Tuhan

Biarlah kita terpisah jarak waktu yang berpanjangan
Biarkanlah terpisah sejauh langit dan dasar lautan
Biarpun terpisah sejauh utara dan selatan
Namun setiap kenangan akan sentiasa dalam ingatan

Berkawan biar beribu
Berkawan bukan hanya satu
Sebabnya Tuhan ciptakan mereka, kau dan aku
Untuk saling memahami dan saling mengambil tahu

Andai berkawan dengan si Pembuat Minyak Wangi
Kita juga akan terasa wanginya
Kerana warna pelangi hadir menghiasi
Manusia seakan lupa hujan sebelum ini

Jika kita berkawan dengan si Penempa Besi
Kita juga akan terasa bahangnya
Kerana nila yang mencemari
Susu yang akan dapat nama

Kau temanku umpama bintang menemani bulan
Kau temanku bagaikan pelangi menghiasi kayangan
Kau temanku seperti kemboja susah senang seiringan

Realisasikan persahabatan kita umpama isi dengan kuku
Dicabut kukunya isi terasa sakit menyucuk kalbu
Biarkanlah seperti aur dengan tebing
Dipisahkan aur, tebing terumbang ambing

T.E.M.A.N
Tahukah Engkau Manusia Amat Naif
Sebab inilah kita amat perlukan seorang insan
Insan yang bernama TEMAN


Monday, July 25, 2011

Iliminasi Sepi

Jam yang tertera di skrin laptop adalah 9:21 malam. Malam masih terlalu awal. Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan ketika ini. Mindaku tidak bermain untuk merancangkan aktivitiku malam ini. Aku melemparkan pandanganku ke luar tingkap. Mencari idea yang mungkin saja muncul secara tiba-tiba.

Tiada.

Tiada idea.

Jari-jemariku menarikan rentak sambil mengetuk-ngetuk meja.

Masih tiada idea.

Helaan nafas ringan kedengaran.

Jari berhenti menari.

Perlahan-lahan aku bangun dari bangku yang mengadap laptop, menuju ke katil di sebelahnya. Aku rebahkan tubuhku ke atas tilam. Telentang mengadap siling. Mataku terus merenung siling.

Apakah yang mahu aku buat malam ini?

Apakah yang perlu aku buat?

Apakah yang patut aku buat?

Apakah yang mesti aku....

*****

FANTASI

“Alamak! Hujan pula.” Dengus aku. Perjalanan masih belum tiba ke destinasi. Hujan pula yang bertamu di pertengahan jalan.

Aku meneruskan perjalanan di dalam hujan sementara aku menjumpai tempat untuk berteduh.

Aku halakan motosikal ke sebuah hentian yang ada di tepi jalan. Berhenti di situ. Motor Yahama SS bewarna biru ditongkat. Aku turun dari motor sambil mengibas-ngibas baju yang sedikit basah. Pandanganku dilemparkan ke arah jalan raya yang telah disimbahi hujan. Hanya kereta yang ‘bermaharajalela’ di atas jalan raya waktu ini. Motosikal mungkin sedang ‘tersadai’ di mana-mana tempat untuk berteduh.

Aku menghampiri raga motosikalku. Tangan dipanjangkan untuk mengambil baju hujan yang ada di bahagian bawah raga motor itu.

“Eh! Tiada?”

Mataku dibesarkan.

Tiada baju hujan di dalam raga motor aku.

Aku sekali lagi mencari perlahan-lahan. Mungkin aku terlepas pandang.

“Memang tiada.” Aku mengeluh. Niat di hati, ingin saja aku meneruskan perjalanan selepas mengenakan baju hujan itu.

Niatku terbatal.

Mungkin tertinggal di rumah. Lalainya aku.

Tangan di angkat ke paras dada. Mata memerhati jam di tangan. Akalku ligat berfikir.

Pilihan yang ada sekarang ini adalah meneruskan perjalanan setelah hujan reda. Tiada pilihan lain lagi.

Entah jam berapalah untuk aku tiba di destinasi.

Tangan yang di angkat ke paras dada diturunkan semula.

Keluhan perlahan kedengaran.

Aku berjalan pada arah bertentangan. Mencari tempat duduk untuk melabuhkan punggung.

Tangan kiri menyeluk poket seluar. Mengeluarkan telefon bimbit Sony Ericsson K700i dari poket seluar.

Telefon bimbit bertukar ke tangan kanan.

Ibu jari menekan ikon kecil untuk terus disambungkan ke internet.

‘Connection fail’.

Sambungan gagal. Mungkin faktor cuaca yang menyebabkan internet sukar disambungkan. Hajat untuk membuka laman sosial Facebook tergendala. Internet tidak dapat disambungkan.

“Boringnya.” Keluh aku. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan lagi selain memandang panorama hujan di hadapanku ini.

Menanti hujan berhenti sebelum meneruskan langkah yang terhenti.

Aku memandang ke sebelah kiri.

“Eh! Awak? Ada orang rupanya!” spontan aku terbangun dari tempat dudukku. Menjauhi jarak antara aku dengan orang yang wujud di sebelah kiriku.

Aku tidak tahu berapa lama dia ada di situ . Dia hanya melemparkan senyuman kepadaku.

“Maaf! Saya ingat hanya saya seorang tadi.” Aku duduk semula di tempat itu, jauh sedikit dari tempatnya.

Perempuan itu masih tersenyum.

“Tidak mengapa.” Dia memandang ke arahku. Senyuman masih kekal di wajahnya.

Suasana sepi seketika. Aku terus merenung jalan raya.

“Dari mana? Mahu ke mana?” soalnya tiba-tiba.

“Er, mahu balik kampung di Penanti. Dari Kulim.” Jawabku tersekat-sekat.

Sesiapa yang berkawan denganku pasti mereka akan tahu, aku gementar apabila berhadapan dengan perempuan yang baru aku kenal. Kebiasaanya aku kurang berbicara dengan kaum hawa. Mungkin malu yang agak menebal dalam jiwaku.

Mungkin.

Kami kembali memandang suasana hujan di hadapan kami.

“Awak?” soalku beralih arah. Kali ini ditujukan kepadanya. Memecah kesunyian.

Dia menoleh ke arahku. Senyuman manis menghiasi wajahnya.

“Balik rumah. Baru balik dari kerja.” Jawabnya menjelaskan.

“Kerja di mana?” soalku lagi.

“Kulim Hi-Tech.” Balasnya ringkas. Dan aku tahu kedudukan Kulim Hi-Tech. Banyak kilang yang ada di kawasan itu. Kawasan itu adalah kawasan perindustrian terkemuka di negeri Kedah.

Aku mengangguk faham.

“Akmal Farhan.” Suaranya menyapa telinga.

Aku menoleh ke arahnya serta merta. Mana dia tahu nama aku? Aku mengerutkan dahi. Persoalan bermain di minda.

Tangannya diangkat dan dihalakan ke dadaku.

Aku memandang arah yang ditunjukkannya.

Batch? Alamak!

Segera tangan kananku mencabut batch yang masih tergantung di poket baju. Terlupa untuk menanggalkannya sewaktu pulang dari kerja tadi. Kelam kabut untuk pulang ke kampung sehingga terlupa untuk menanggalkannya.

Aku tersenyum sendiri.

“Balik kerja, terus pulang ke kampung?” soalnya.

Aku menggeleng.

“Balik rumah dulu. Ambil pakaian. Kemudian barulah keluar untuk pulang ke kampung.” Jawabku.

“Sehingga terlupa untuk tanggalkan batch?”

Aku tersenyum.

Hujan masih belum berhenti.

Dari situ, banyak perkara berkenaan dirinya aku perolehi. Latar belakang keluarganya, pendidikannya, peribadinya dan segala informasi dapat aku perolehi.

Dari satu cerita, berubah pula ke cerita lain. Mengisi kelapangan waktu sementara menanti hujan reda. Dan akhirnya, sedikit demi sedikit hujan kelihatan reda. Namun, hujan masih belum berhenti sepenuhnya.

Dia memandang aku.

“Awak. Saya balik dululah ya. Lambat pula sampai rumah nanti.” Katanya lembut.

“Baiklah. Hati-hati. Masih hujan lagi.” Balasku. Penuh perhatian.

Dia menuju ke arah motosikalnya yang ada di sisi perhentian itu dan mula menaikinya. Tongkat diangkat. Enjin dihidupkan. Dibiarkan seketika.

Seketika kemudian, dia mula bergerak ke atas jalan raya.

“Assalammu’alaikum.” Katanya sempat menoleh ke arahku.

“Wa’alaikummussalam.” Balasku.

“Eh! Alamak! Aku terlupa mahu tanya nama dia.” Aku menepuk dahi. Terlupa untuk mengetahui namanya. Tidak mengapa.

Aku mengukir senyum.

Itu tidak menjadi masalah.

Tapak tangan kiri di angkat mengadap muka. Tertera di tapak tangan butir-butir nombor telefon bimbit serta alamat e-mailnya.

Senyuman semakin melebar.

“Bolehlah aku cari Facebook dia.

Senyuman terus menguntum.

Kemudian, aku juga mengambil langkah yang sama sepertinya.

Menuju ke motosikalku dan melabuhkan punggungku ke atas kusyen motor. Enjin dihidupkan. Dibiarkan seketika.

Perlahan-lahan tongkat diangkat dan aku mula menggerakkan motosikal ke atas jalan raya.

Berjalan pulang dalam keadaan hujan yang masih renyai-renyai.

Bersama dengan kuntuman senyuman.

*****

FIRASAT

“Kenapa?” aku terjeda. Dalam keseriusan situasi, tiba-tiba saja dia bersuara. Bersuara dengan menyebut butir perkataan yang tidak ingin aku dengar.

“Awak tidak seperti yang saya harapkan, Farhan. Maafkan Syakila.” Dia bersuara lemah.

Aku menggeleng. Tidak faham.

“Saya tidak boleh meneruskan hubungan kita lagi.” Katanya lagi.

Aku masih tidak boleh menerima keputusannya.

“Tapi kenapa, Syakila?” soalku lagi. Entah sudah berapa kali aku ajukan soalan yang sama.

Syakila menghela nafas. Menenangkan diri.

“Farhan. Selama kita berkawan. Berapa kali awak pimpin tangan saya? Berapa kali awak pegang tangan saya?” soalnya bertalu-talu.

Aku menggeleng. Hanya menggeleng tanpa suara. Itulah jawabanku.

“Semasa saya sedih. Awak ada di sebelah saya. Tetapi, kenapa awak tidak pegang bahu saya untuk menenangkan saya. Saya kecewa dengan awak. Awak buat saya macam tidak wujud.” Luah Syakila kecewa.

Aku terus menggeleng. Perlahan.

“Kenapa awak diam?”

“Saya tahu, saya tidak pernah sekalipun pegang tangan awak. Saya tidak pernah sekalipun sentuh bahu awak. Tapi, awak kena tahu. Saya tidak pernah sentuh mana-mana perempuan selama saya hidup.” Balasku. Ini prinsipku. Aku tidak akan sentuh mana-mana perempuan melainkan jika perempuan itu telah menjadi isteriku.

“Kenapa? Awak tidak hargai orangmacam saya?” soalnya lagi. Suaranya sedikit tinggi. Matanya berkaca. Menahan air mata dari terjurai.

Aku menggeleng.

“Sebab saya hargai peribadi seorang perempuan.” Jawabku perlahan. Aku tidak pasti aku di pihak benar atau tidak.

Suasana diam seketika.

Syakila menarik nafas.

Seperti ingin katakan sesuatu.

Dia mula bersuara.

“Farhan. Tanda-tanda kita nak tahu seseorang itu cintakan kita atau tidak, orang itu akan pimpin tangan kita semasa kita perlukannya. Orang itu akan memeluk kita semasa kita sedang berduka. Tapi awak?” suaranya mula bergetar.

“Itu pandangan orang Barat, Syakila. Mana mungkin kita jadikan cara hidup Barat sebagai panduan hidup kita. Kita sepatutnya...”

“Itu alasan awak. Awak tidak hargai saya dalam hidup awak.” Pintasnya tanpa membiarkan aku meneruskan kata-kata.

“Jangan cakap macam itu, Syakila.”

“Memang betul cakap kawan saya. Kalau seseorang itu tidak pernah pegang tangan kita, itu maknanya dia tidak pernah menganggap kita sebagai insan istimewa dalam hidupnya.” Kata Syakila. Seolah-olah tidak menghiraukan pandanganku.

Aku melepaskan keluhan.

Tidak mungkin sebegitu sekali tahap pemikirannya.

“Lagi satu. Kenapa setiap kali kita keluar bersama, awak mesti bawa kereta. Tetapi kalau awak pergi mana-mana dengan kawan-kawan awak, awak hanya naik motor saja? Apa maknanya itu?”

Aku mendongakkan sedikit kepalaku. Memandang matanya yang sudah mula berair.

“Kenapa awak tidak mahu keluar dengan saya naik motor awak?” sambungnya lagi. Aku masih tidak bersuara.

“Tidak elok orang pandang.” Balasku ringkas. Cuba tidak menegangkan suasana.

“Awak tidak sayangkan saya, bukan? Awak tidak hargai saya dalam hidup awak!” suaranya meninggi. Aku sedikit gusar.

“Saya hormat awak sebagai perempuan. Saya tidak akan sentuh mana-mana perempuan selagi belum bergelar isteri saya.” Kataku lagi.

“Awak tipu! Awak tipu! Awak tidak cintakan saya!” kata Syakila. Langkahnya diatur meninggalkan aku. Pantas hilang dari pandangan.

Aku kaku. Langkahku terhenti.

*****

“Huh!”

Aku terjaga. Pantas aku melihat jam yang tertera pada skrin telefon bimbitku. 9:55 malam. Sudah setengah jam berlalu.

“Aku bermimpi rupanya.” Bisik aku bicara sendiri.

Aku mengubah posisi berbaring kepada duduk. Badan disandarkan ke dinding. Lutut kiri diangkat menyentuh dada. Tangan memaut lutut.

‘Kenangan itu kembali lagi.’ Bicara hatiku. Sebak. Cuba melindungi perasaan hati ini.

Hatiku bergetar.

Aku masih sayangkan dia.

“Ah! Dia masih milik aku. Dia cuma kata yang dia tidak boleh terima aku saja. Dia tidak kata pun yang dia tidak cintakan aku.”

Aku terus menggapai telefon bimbit yang ada di sisiku, lalu nama Syakila ku cari. Butang ‘dail’ ditekan.

Nada panggilan berbunyi.

Talian tidak dapat disambungkan.

Butang ‘letak’ ditekan. Telefon bimbit kembali bertapak di sisi.

Aku menghela nafas.

Baru teringat yang Syakila sudah bertukar nombor telefon. Tapi, nombor lamanya masih tersimpan kemas di dalam telefon bimbitku.

Seolah-olah dia masih bersama dengan aku.

Seolah-olah dia memang milikku.

Aku tidak percaya dia tinggalkan aku. Ini satu pembohongan. Syakila tidak tinggalkan aku. Hatinya masih pada aku. Aku masih cintakan dia.

Cinta aku dan Syakila tidak sepatutnya berakhir sebegini.

Aku bingkas bangun dari katil dan duduk mengadap laptop yang sedia dihidupkan.

Aku buka lama Facebook. E-mailnya di taip. ‘Page’ Syakila terpapar.

Jelas. Di bahagian status jelas perkataan ‘in relationship’.

Ini tidak benar. Ini satu pembohongan.

Aku tidak percaya!

Lalu gambarnya satu persatu aku buka.

Memang memeritkan.

Hatiku terguris.

Hampir semua gambarnya berpelukan dengan seorang lelaki lain. Setiap aktiviti, pasti lelaki itu turut serta. Berpegang tangan berjalan di pusat membeli-belah. Hatiku semakin terguris.

Salahkah aku tidak memimpin tanganmu? Salahkah aku tidak berpelukan denganmu? Salahkah aku tidak merangkul bahumu hampir dengan bahuku? Salahkah aku jarang bergambar denganmu? Salahkah aku hormat peribadimu sebagai seorang wanita?

Aku kecewa.

Perlukah aku lupakan prinsip yang kubawa selama ini?

Tidak!

Namun, aku masih tidak boleh percaya Syakila tinggalkan aku hanya kerana ini.

Biarpun ini kenyataan.

*****

FIKSYEN

“Titt... Titt...”

Telefon bimbitku berbunyi. Menandakan mesej menjengah ke kotak masukan.

Segera aku bangun dan capai telefon bimbitku yang masih ada di atas tilam.

Tertera nama ‘Faisal’ di skrin telefon bimbit.

‘Salam, Akmal Farhan. Jangan lupa usrah kita malam ini.’ Ringkas pesanannya mengingatkan tentang usrah kami malam ini bertempat di rumahnya.

Aku campakkan semula telefon bimbitku ke atas katil. Tanpa membalas.

Fikiranku kini hanya terfikirkan Syakila.

Dia sentiasa ada di dalam fikiranku. Sukar untuk aku melepaskan dia pergi. Biarpun akalku menyatakan ini adalah benar, aku tidak dapat menerima. Aku tidak dapat menerima bahawa Syakila meninggalkan aku dengan cara sebegini.

Sehingga saat ini, sudah dua bulan berlalu. Kenanganku bersamanya masih kekal segar di ingatanku.

Kembalilah Syakila. Saya sangat menyayangi awak.

Jariku menarikan tetikus dan menekan ikon Microsoft Word di skrin laptop.

Terpapar satu permukaan bewarna putih.

Perlahan-lahan aku menaip sesuatu.

Cinta. Tetamu bernama cinta.

Ya!

Aku tidak ingin dia pergi. Aku akan menulis semula kisah kami berdua. Hanya kisah yang indah-indah. Cerita yang tidak ada masalah melanda antara kami. Aku tidak akan melepaskan Syakila pergi. Andainya di akhir cerita itu Syakila mesti meninggalkan aku, aku akan buatkan cerita itu berlatarbelakangkan sebuah bilik yang tidak ada pintu keluar dan kami di dalamnya.

Penceritaan yang bermula dengan kita berdua tersenyum. Terus tersenyum. Tanpa masalah melanda.

Sekarang, aku hanya menulis kisah bahagia. Jari terus menari di atas papan kekunci.

Terus menari.

Tanpa henti.

Tetapi.

Entah mengapa fikiranku memberontak.

Tidak mahu bekerja untuk mengimbas kembali kisah bahagia kami berdua.

Akalku kuat memintaku berhenti menulis.

Air mataku gugur. Aku menangis.

Sebaknya hati.

Aku tidak dapat menerima kenyataan ini.

Akal menjelaskan dengan sejelas-jelasnya

Biarpun aku menulis seribu muka surat sekalipun, ia tetap khayalan. Ia tetap bukan realiti. Ia hanya sekadar fantasi, yang hanya wujud sebagai fiksyen.

Dan ia tetap kekal fiksyen.

Tetap fiksyen. Khayalan.

Aku mengutuk diri. Bodohnya tindakanku ini.

Bodohnya aku dalam menapis erti sebuah cinta.

Aku menangis sendiri. Aku biarkan diriku menangis sepuas-puasnya. Tidak menghalang air mata ini terus menyapa pipi. Supaya apabila masalahku ini diluahkan dalam bentuk tangisan, fikiranku nanti mampu menjadi ringan.

Aku biarkan tangisan ini berhenti sendiri.

Cerita bahagia yang separuh jalan itu aku print untuk tatapan aku sendiri. Apabila rindu ini menjengah, kisah itu akan kubaca semula biarpun hanya secebis kisah.

Satu persatu butir perkataan itu aku tatap.

Cukup bahagia.

Air mata terus membasahi pipi.

****

FAKTA

Aku mengeluh sendirian.

“Astaqfirullah. Ampunkan aku ya Allah.” Pasrahku.

Aku kembali melabuhkan punggungku di atas katil di sebelah meja laptop itu. Fikiranku kembali memikirkan perkara yang releven.

Yang tiada tetap tiada. Syakila sudah pergi ke pangkuan orang lain.

Bingkisan cerita yang ku tulis itu diletakkan di atas papan kekunci laptop. Sengaja biarkannya di situ.

Aku mencapai telefon bimbit di sisi. Melihat jam yang ada di permukaan skrin.

10:30 malam.

Aku menghela nafas.

Sudah setengah jam usrah berjalan. Tanpa kehadiran aku. Ingin saja aku tidak hadir ke usrah itu.

Fikiranku sekali lagi berbicara.

‘Ah! Mana tahu di sana pasti ada sahabat-sahabat yang dapat mengubat sepiku ini.’

Aku lemah bangun dari katil.

Pergi ke bilik air dan membasuh muka.

Kembali semula ke dalam bilik. Menyisir rambut supaya kemas. Memerhatikan juga wajahku pada cermin supaya tidak ada ‘khabar’ masalah yang terpamer pada wajahku.

Helmet diambil, kunci motosikal Yamaha SS biru dicapai. Perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke kawasan parkir motosikal.

Perjalanan menuju ke usrah.

Usrah, terapi jiwa muslim.

‘Ampunkan aku ya Allah atas kelalaianku’.

*****

Aku berada di luar rumah Faisal. Enjin motor dimatikan.

Aku dapat cam suara Amir Yusoff sedang berbicara dari luar rumah Faisal.

Aku turun dari motosikal dan berjalan menuju ke pintu rumah.

Apalah tajuk usrah pada malam ini?

Aku berhenti di muka pintu. Mendengar sekilas perbincangan mereka.

Tapi, kenapa tajuk usrah pada malam ini seperti membincangkan tentang...

“Assalammu’alaikum.” Aku mengetuk pintu rumah. Seketika kemudian, aku mula membuka pintu.

Amir yang sedang berbicara itu terhenti serta merta memerhatikan kehadiran aku. Yang lain turut sama melemparkan pandangan ke arah aku.

“Wa’alaikummussalam.” Semua yang ada menjawab serentak.

Aku dapat memerhati enam orang yang sedang duduk dalam bentuk bulatan kecil. Naqib yang aku sanjungi, Irwan seperti mengawal keadaan. Yang lainnya adalah Amir Yusoff, Faisal, Sauti, Zuhdi, Azham dan Fadhli. Sahabat seusrah.

“Lambat sampai, Farhan?” suara Abang Irwan memecah kesunyian.

Aku tersengih. Menyembunyikan perasaan yang bergolak sebelum ini.

“Tertidur. Letih kerja.” Jawabku santai.

Abang Irwan tersenyum. Dia mengangguk dan mengisyaratkan supaya aku turut serta di dalam usrah.

Aku memilih kedudukan di antara Zuhdi dan Azham.

Buku catatan serta pen dikeluarkan dari beg kecil.

Buku-buku fikrah juga dikeluarkan.

Aku memandang ke arah Zuhdi.

“Apa tajuk usrah malam ini?” soalku pada Zuhdi.

Zuhdi memandang aku. Lantas dia mencapai pen dan menulis sesuatu di helaian kosong pada buku catatanku.

Aku memerhati dengan teliti.

C.I.N.T.A....

Mataku membulat.

“Cinta buta: Salah siapa?” aku menyebut perlahan sebaris perkataan yang tertulis di buku itu.

Zuhdi mengangguk senyum. Lalu dia mengisyaratkan supaya aku memberi perhatian.

Aku menunduk. Cinta buta, Salah siapa?

Apakah cintaku ini adalah dalam kelompok cinta buta?

Telinga cuba mendengar sejelas-jelasnya.

“Cinta itu buta? Di mana butanya cinta? Pada usia yang tidak dikenali? Atau pada batasan agama yang tidak dipeduli?” soalan dicungkilkan oleh Abang Irwan. Untuk sama-sama renungkan.

Aku terus mendengar jawabannya.

“Cinta itu sebenarnya tidak buta. Yang buta adalah kita yang tidak nampak erti cinta yang sebenar. Cinta itu seharusnya perlu didasari dengan iman. Imanlah yang akan menentukan haluan cinta kita ke mana.” Bicara Abang Irwan lagi.

“ingatlah sahabat semua. Ilmu itu apa yang terguris di hati. Jangan kerana hati, menyesatkan ilmu di dada, menutup kebenaran yang terang benderang, berselimut sebalik tembok hawa nafsu yang ganas.”

Masa seakan terhenti. hujah yang aku dapat dari Abang Irwan cukup menyentuh hati.

“Ada sesiapa yang mahu beri pandangan?” Abang Irwan memberi laluan kepada ahli usrah untuk memberikan pandangan.

Amir Yusoff kembali bersuara setelah agak lama berhenti, “Jagalah iman. Iman yang akan memandu akal dan hati dalam mencari cinta yang sebenar. Ada pepatah orang muda menyatakan, ‘jika bercinta denganmu adalah sesuatu yang salah, maka aku tidak mahu berada di pihak yang benar’. Ini adalah satu pemikiran yang sangat-sangat singkat.” Bicara Amir Yusoff menekankan perihal iman dan hati. Mindaku mula mencerna.

“Ada juga pepatah yang kata ‘demi cinta, lautan api sanggup direnangi’. Tahukah kita apakah lautan api itu?” sambung Amir Yusoff.

Azham pula bersuara, “Kalau mahu bercinta, bersungguh-sungguhlah untuk menjadikan seseorang itu sebagai isteri yang sah. Bercintalah selepas kahwin. Ada rahsia besar yang Allah sembunyikan pada cinta selepas kahwin.”

“Carilah seseorang yang mampu untuk menjadi ibu. Bukan hanya pada nama seorang ibu, tetapi pada tanggungjawab seorang ibu. Jangan fikir perkahwinan hanya ke Jinjang Pelamin, tetapi fikirlah sehingga ke Liang Lahad.” Kata Zuhdi pula sambil tersenyum. Tangan kanannya menepuk pehaku.

Aku tersenyum. Aku terus mendengar.

“Farhan! Ada pandangan?” suara Abang Irwan menghentikan lamunanku.

Aku mula berfikirkan sesuatu.

Ya! Aku terfikirkan sesuatu.

Perlahan-lahan aku bersuara.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya. Bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri. Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. Surah Ar-Rum, ayat 21. “Bicaraku penuh berhati-hati.

Sambungku lagi.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Al-Baqarah, ayat 216.”

Aku terus menyambung.

“Allah tidak akan menzalimi hamba-hambaNya. Apa yang Dia susun, itulah yang terbaik untuk kita. Ujian yang Dia berikan pada kita juga adalah ujian yang memang mampu untuk kita tanggung. Kita merancang, Allah juga merancang. Perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan. Berbaliklah semula kepada Allah. Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.”

Semua memandang ke arahku. Mendengar dengan penuh kusyuk setiap butir perkataan yang terbit dari bibirku. Ada yang mencatit ke dalam buku catatan masing-masing. Hakikatnya bukanlah bibirku semata-mata bersuara, ia diiringi juga dengan jiwa yang merasa. Aku bukan hanya berkata-kata, tetapi ia adalah satu proses muhasabah buatku.

Masa terus berlalu.

*****

Aku tiba di depan muka pintu bilikku. Baru pulang dari usrah.

Pintu bilik dibuka.

Aku melangkah ke dalamnya.

Cinta buta, Salah siapa?

Ya! Aku yang bersalah. Aku tidak harus menyalahkan takdir atas pemergian Syakila dari pangkuanku.

Aku terus melangkah ke dalam bilik. Menghampiri laptop yang masih terbuka.

Mataku tertumpu pada helaian kertas yang terdampar di atas papan kekunci laptop.

Aku mencapai dan membaca sekilas.

Jiwaku kembali terusik.

Aku merenung ke luar tingkap. Sepanjang perjalanan pulang dari usrah tadi, angin begitu kuat. Kini, hujan renyai sudah mula turun membasahi bumi.

Syakila. Mengapa aku sering teringatkan dia?

Teringatkan perkenalan pertama aku dan dia. Pertemuan di perhentian sewaktu pulang dari kerja. Waktu itu, hujan menjadi saksi pertemuan kami.

Hari ini, hujan lagi. Setiap kali hujan, aku pasti teringatkan kenangan kami bersama. Jelas di ingatan.

Huh!

Terimalah hakikat Farhan, Syakila bukan milik kau lagi. Dia bukan terbaik untuk kau.

Aku bicara sendiri.

Teringat pada surah Ar-Rum ayat 21 yang ku baca di dalam usrah.

Mungkin Syakila bukan dari jenis aku sendiri untuk aku hidup mesra dengannya.

Sekali lagi aku mengeluh.

Sehingga ke saat ini, aku masih tidak mengetahui yang manakah yang terbaik buatku. Berikanlah aku petunjuk-Mu ya Allah agar dapat aku melihatnya dengan jelas.

Seketika kemudian, telefon bimbitku berbunyi. Satu mesej menjengah masuk ke dalam kotak masukan.

Aku perhatikan nama yang tertera pada skrin telefon bimbit itu.

‘Abang Irwan’.

Aku membuka mesej dan membaca mesej yang disampaikannya.

‘Kau bercinta? Aku biarkan seketika. Bukannya aku tidak peduli. Tetapi aku biarkan kau mengerti. Mengerti apa itu sebenarnya cinta. Cinta itu buta? Di mana butanya cinta? pada usia yang tidak dikenali? Atau pada batasan agama yang tidak dipeduli? Moga di akhirnya nanti, kau akan mengerti, cinta sebagaimana yang kau perlu cari.’

Aku tersentak. Seolah-olah Abang Irwan dapat mengetahui apa yang sedang kulalui kini.

Benar kata Abang Irwan. Cinta itu sebenarnya tidak buta. Yang buta adalah kita yang tidak nampak erti cinta yang sebenar.

Aku tersedar.

Aku cuba untuk membumikan realiti. Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Aku menasihati diri.

‘Wahai 'emosi', mengapa tidak biarkan saja 'akal' yang menguasai kamu?’

Aku menghela nafas. Ringan.

Lantas, aku memegang kertas ‘kisah bahagia’ antara aku dan Syakila, dan aku koyak perlahan-lahan. Menjadi picisan kecil.

Aku tekad, aku tidak mahu mengingatinya lagi. Biarlah kenangan ini terus berhenti apabila hujan mula berhenti nanti. Aku tidak mahu mengingati.

Percaya dengan Ilahi, bahagia itu akan diberi.

Kertas itu aku buangkan ke dalam tong sampah.

Segera aku berjalan menuju ke bilik air. Mengambil wudhuk.

Aku masuk semula ke dalam bilik. Ingin menunaikan solat taubat dan solat hajat.

Mudah-mudahan taubatku ini diterima dan hajatku ini terlaksana.

Berbaliklah segalanya pada Allah, kerana Dia maha mengetahui segala hikmah yang terjadi.

Aku kekal dengan prinsipku. Aku tidak akan menyentuh mana-mana perempuan selagi belum bergelar isteri aku yang sah. Aku tidak akan memeluk mana-mana perempuan sebelum dia menjadi milikku.

Aku sedar.

Kita terlalu ingin hidup di alam Fantasi sehingga kita mengabaikan realiti Firasat hati. Lalu kita sukar menerima bahawa hidup kita ini bukanlah Fiksyen yang hanya ada bahagia tanpa derita. Hidup ini adalah realiti, Fakta kenyataan. Iliminasikanlah sepi dengan kembali pada Ilahi.

“Sungguh, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”

Tamat...

Sunday, July 3, 2011

Revolusi Minda Kreatif

Jari-jemarinya rancak memutar-mutar kiub segi empat enam warna yang ada di tangannya. Permukaan warna putih sudah kelihatan. Warna kuning juga sudah kelihatan. Manakala, permukaan warna hijau, merah, biru dan jingga baru disiapkan dua baris masing-masing. Masih tinggal baris terakhir bagi keempat-empat warna itu. Kiub segi empat itu dinamakan rubik.

Rancak tangan berputar. Adakalanya pergerakkan tangannya itu tidak seiringi dengan pandangan matanya. Sekali-sekala pandangannya dilemparkan ke tengah taman dalam keadaan jarinya yang masih menari. Menghayati panorama flora dari kawasan lapang dari tempat dia duduk.

Seketika kemudian, rubik itu diletakkan di atas pehanya. Siap! Tetapi matanya tidak tertuju ke arah rubik tersebut. Masih memandang ke kawasan taman. Angin sepoi bahasa menyapa wajahnya. Tenang.

Kini matanya kembali merenung rubik yang telah sempurna. Sekali lagi dia memegangnya. Jemari itu kembali menari. Mahir dia mengendalikan rubik itu. Jika diperhatikan dengan teliti, hanya tiga jarinya sahaja yang bergerak-gerak. Manakala dua lagi jarinya hanya sekadar memegang rubik itu supaya kemas kedudukannya di tangan.

Sekali lagi. Siap! Tetapi bukan menyamakan setiap permukaan dengan warna masing-masing, sebaliknya hanya tengahnya sahaja berbeza warna sedangkan warna tengah itu dikelilingi oleh warna yang sama.

Rubik itu diletakkan di atas peha sekali lagi.

Kekal memerhatikan permukaan warna merah yang di tengahnya bewarna biru. Ditolak ke satu sisi lain. Kelihatan permukaan warna jingga yang di tengahnya berwarna hijau.

Bagaimana dia lakukan?

Khairil Izwan tersengih. Teringat sewaktu mula-mula dia melihat Firdaus rancak menarikan rubik.

*****

“Pergh! Buat macam mana?” Izwan terpegun melihat Firdaus hanya memerlukan satu setengah minit untuk menyiapkan rubik enam warna itu. Reaksi Izwan berminat untuk tahu.

Firdaus menyerahkan rubik itu kepada Izwan.

“Cuba kau buat dulu.” Rubik itu bertukar tangan.

Tidak berlengah, Izwan terus memutarkan rubik itu untuk diselesaikan.

Permukaan berwarna biru sudah kelihatan. Sempurna. Kini tangannya rancak untuk selesaikan permukaan kedua. Permukaan berwarna kuning.

Sepuluh minit berlalu. Barulah permukaan berwarna kuning itu kelihatan. Senyum Izwan semakin meleret memandang Firdaus di sebelahnya.

“Siap! Permukaan kedua.” Izwan bersuara riang.

Namun, permukaan biru yang telah siap sebelum itu sudahpun tidak kelihatan lagi.

Izwan mengerutkan muka. Keluhannya kedengaran. Sebelah tangan dijatuhkan. Hanya sebelah tangannya sahaja yang masih memegang rubik.

Senyuman berganti wajah. Kini, Firdaus pula yang tersenyum. Tawa mula kedengaran. Bahu Izwan ditepuk berkali-kali. Izwan memandang Firdaus. Dia turut tersenyum. Di dalam hatinya sungguh kecewa kerana tidak mampu menyelesaikannya.

Rubik beralih tangan. Izwan meletakkan rubik itu psda tangan Firdaus.

“Macam mana kau buat? Ajarlah aku.” Rayu Izwan. Memohon diajar.

“Aku akan ajar. Tetapi bukan sekarang.” Balas Firdaus.

Wajah Izwan berkerut. Mungkinkah hajatnya tidak akan kesampaian?

“Bila?” suara Izwan kembali bergema melihat senyum Firdaus semakin melebar.

“Aku mahu kau usaha dulu. Habis berusaha, masih lagi tidak dapat selesaikan, barulah aku ajar.” Bicara Firdaus. Firdaus lebih suka sahabat-sahabatnya berusaha untuk mendapatkan sesuatu berbanding hanya menerima tanpa berfikir di sebaliknya. Tidak mahu sahabat-sahabatnya hanya bergantung pada orang lain tanpa usaha sendiri.

Tetapi Firdaus bukanlah kedekut ilmu. Dia masih bertimbang rasa. Klu atau bayangan masih diberikan supaya ‘berfikir’ dulu adalah jalannya.

Rubik kembali bertukar tangan. Kini, rubik itu ada pada tangan Izwan.

“Kau pegang dulu rubik ini, cuba selesaikan terlebih dulu.” Tangan kanan Firdaus diletakkan atas tangan Izwan yang memegang rubik, manakala tangan kirinya menepuk lembut bahu sahabatnya itu. Tepukan semangat.

“Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang berperang di dalam menegakkan agamanya di dalam satu barisan yang tersusun rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang berdiri kukuh. Surah Ash-Saff, ayat ke-empat.” Kata Firdaus membacakan ayat dari surah Ash-Saff.

Izwan mengangguk-angguk faham.

“Seolah-olah mereka sebuah bangunan yang berdiri kukuh.” Kata Firdaus lagi mengulangi bahagian terakhir ayat itu.

“Mahu penyelesaiannya, guna konsep bagaimana mahu membina sebuah bangunan yang berdiri kukuh.” Pesan Firdaus sebagai klu ataupun bayangan.

Izwan tersenyum apabila melihat wajah Firdaus melakarkan senyum.

“Aku kena pergi dulu. Ada hal sikit.” Bicara Firdaus mengundurkan diri.

Izwan mengangguk.

Seolah-olah sebuah bangunan yang berdiri kukuh.

“Assalammu’alaikum.”

“Wa’alaikummussalam.” Balas Izwan menghantar Firdaus pergi dengan pandangan.

Izwan kembali menumpukan pandangannya pada rubik. Berfikir sejenak.

Seolah-olah mereka sebuah bangunan yang berdiri kukuh.

Sebuah bangunan yang berdiri kukuh.

Bangunan yang berdiri kukuh.

Izwan mengangguk perlahan. Cuba memikirkan kaedah membina sebuah bangunan yang berdiri kukuh.

*****

Rubik masih di tangannya. Sepanjang masa dia berdiri di atas bumbung sebuah bangunan berhampiran dengan kawasan pembinaan pangsapuri di dalam kawasan daerahnya. Memerhatikan bagaimana sesebuah bangunan itu didirikan. Ada bangunan yang baru dibangunkan tapaknya. Ada juga yang sudahpun hampir siap. Tidak kurang juga bangunan yang telah sempurna pembinaannya. Satu persatu diperhatikannya. Termasuklah arah bangunan itu akan didirikan. Gerak-geri manusia yang sedang bertukus-lumus menjalankan kerja pembinaan juga diperhatikan. Mencari bayangan ‘sebuah bangunan yang berdiri kukuh’.

Barulah dia mengerti. Mengerti mengapa apabila dia siap menyelesaikan permukaan kedua rubik itu, permukaan pertama tadi telah berserabut semula.

Fikir Izwan, “Siapkan bahagian hadapan hingga selesai, kemudian bina pula bahagian kanan hingga sempurna.”

“Tidak mungkin!”

“Mana mungkin dapat siapkan pandangan hadapan dulu jika tidak dibina sisi kiri, kanan dan belakangnya secara serentak!” Bisik hatinya. Dia kini faham dan mengerti.

Dia berfikir seketika. Berfikir dan berfikir.

“Yes! Aku sudah tahu!” laung Izwan separuh menjerit.

Tangannya yang setia memegang rubik itu digerakkan. Menggunakan konsep ‘bangunan yang berdiri kukuh’ yang dia fahami. Satu persatu.

Jalan penyelesaian itu dijumpai.

Khairil Izwan tersenyum riang.

Firdaus perlu dicarinya!

******

“Tentukan tempat dahulu!” Katanya perlahan. Firdaus berada di hadapannya sedang memerhatikan rubik yang sedang diputarkan.

Konsep bina bangunan yang berdiri kukuh.

Tentukan tempat terlebih dulu. Tahu mana hadapan, mana kiri dan kanan, mana atas dan bawah. Kemudian bina tapak untuk mengukuhkan kedudukan dan arah sesebuah bangunan.

Tangan Izwan pantas menggerak-gerakkan rubik. Kuning sebagai tapaknya, putih atas, hijau hadapan, merah kanan, biru belakang dan jingga kiri. Selesaikan tapak terlebih dahulu. Kuning.

Tentu arah sudah selesai. Tapak juga sudah sempurna. Masa untuk selesaikan ‘tingkat satu’ sesebuah ‘bangunan’. Hijau, merah, biru dan jingga kelihatan siap satu baris. Kuning masih kekal kelihatan pada permukaannya tidak terusik. Kemudian siapkan ‘tingkat dua’. Hijau, merah, biru dan jingga siap untuk satu baris lagi. Baris kedua.

‘Tingkat tiga’ hanya disiapkan sebahagian sahaja dan terus pula selesaikan bahagian bumbung. Atas berwarna putih. Selesai di bahagian atas, maka disempurnakan ‘tingkat tiga’ yang masih berbaki.

“Siap!”

Izwan memandang Firdaus di hadapannya. Firdaus melorek senyuman.

“Bagus imaginasi kau, Izwan.” Puji Firdaus.

Izwan terus tersenyum. Puas dapat selesaikan misi rubik tersebut.

Firdaus mengambil rubik yang ada pada tangan Izwan, lalu ditunjukkannya pada Izwan langkah-langkah yang lebih mudah dan menjimatkan masa. Izwan mencapai kertas dan mencatit setiap langkah yang Firdaus tunjukkan.

Rubik bertukar tangan. Kini di tangan Izwan. Izwan mengerakkan setiap penjuru rubik itu sambil matanya merujuk kepada sekeping kertas yang tercatit kaedah yang diajarkan oleh Firdaus sebentar tadi.

Firdaus kembali menatap skrin laptopnya. Dia ada kerja yang perlu dilaksanakan segera. Video montaj perasmian untuk program motivasi pelajar-pelajar sekolah menengah. Anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dan juga NGO yang Firdaus sertai iaitu Ikatan Dakwah Islamiah Malaysia, IDEALISME.

Izwan memerhati ke arah laptop Firdaus. Sebuah video yang memperkenalkan NGO IDEALISME dan juga memaparkan gambar-gambar program yang pernah dianjurkan oleh IDEALISME.

“Kau buat video untuk apa itu?” Soal Izwan. Rubik masih di tangannya. Tidak diputarkan.

“Video untuk program motivasi pelajar-pelajar sekolah menengah.” Balas Firdaus santai. Matanya masih tertumpu pada ikon-ikon kecil pada skrin.

“Kenapa tidak gunakan Perisian Movie Maker. Senang sikit. Masukkan gambar-gambar sahaja.” Izwan mencadangkan pada Firdaus.

“Tidak boringkah asyik guna Perisian yang sama sahaja?” Firdaus memintas.

Belumpun sempat Izwan membalas, Firdaus terlebih dahulu menjelaskan, “Sekali-sekala kena juga guna Perisian Macromedia Flash. Edit gambar guna Adobe Photoshop untuk lebih menarik. Boleh masukkan kata-kata semangat ke dalam gambar.” Firdaus memandang Izwan. Izwan tertumpu pada skrin. Memerhatikan ikon tetikus yang sedang digerak-gerakkan.

Izwan mengangguk-angguk.

“Kita perlu buat sesuatu kelainan. Jangan asyik guna perkara yang sama sahaja untuk montaj perasmian ini. Fikir lebih kreatif. Manusia sukakan sesuatu kelainan. Tetapi jangan sampai melanggar syariat.” Kata Firdaus. Sempat dia berpesan kepada Izwan supaya kekal menjaga syariat.

Suasana senyap seketika. Firdaus kembali menatap skrin laptopnya. Sekali-sekala tetikus digerakkan untuk melakukan proses animasi pada montaj yang sedang dihasilkannya.

“Cuba kau fikirkan. Apabila kau pegang rubik ini, apa yang kau akan lakukan?” kata Firdaus mematikan suasana sepi tadi. Tangannya kini mengambil rubik dari tangan Izwan.

Izwan berfikir seketika.

“Sudah tentu aku akan selesaikan permukaannya.” Balas Izwan ringkas.

“Dengan warna yang sama?”

Izwan mengangguk.

“Boleh fikir pada dimensi yang lain?” soal Firdaus lagi.

Izwan mengerutkan dahi. Minta Firdaus menjelaskan maksudnya.

“Pernah tidak kau terfikir yang rubik ini boleh juga buat seperti ini?” Firdaus mengutarakan soalan sambil jarinya menggerakkan rubik di tangannya.

Izwan terus memerhati jari-jemari Firdaus.


Seketika kemudian, rubik itu berubah kedudukan warna. Di tengahnya berwarna hijau manakala di sekelilingnya berwarna kuning. Begitu juga di semua permukaan yang lain.

Izwan tergamam. Tidak pernah terlintas di fikirannya rubik boleh dilakukan sebegitu. Dia menggeleng, tidak pernah terfikir.

“Macam mana pula kalau buat sebegini?” sekali lagi tangan Firdaus menggerakkan rubik di tangannya. Kali ini rubik berubah menjadi satu corak yang sungguh menarik. Menjadi corak yang seragam dengan bahagian-bahagian lain.

Sekali lagi Izwan menggeleng. Kagum dengan kemahiran yang Firdaus miliki.

“Bayangkan kalau kau dicampakkan ke kawasan padang pasir, apakah kau akan katakan seluruh dunia adalah padang pasir? Sekiranya kau dicampakkan ke kawasan pergunungan, adakah kau akan katakan seluruh dunia ini adalah bergunung-ganang? Manusia itu berbeza-beza. Setiap manusia mempunyai pembawaan dan peribadi yang berbeza-beza. Manusia tidak sama.” Kata Firdaus.

Izwan senyap mendengar kata-kata Firdaus.

“Tidak semua manusia macam kau. Tidak semua manusia macam kita. Sebab itulah kita perlukan satu pemikiran yang kreatif untuk membentuk manusia. Pemikiran yang mampu menjengah setiap manusia yang berbeza karektornya. Dan disatukan untuk menuju kepada yang Maha Satu. Setiap kaedah perlu dipandang sebagai unik, dipandang sebagai peluang. Jangan terlalu sempitkan cara pemikiran kita.” Sambung Firdaus lagi.

“Tidak hairanlah orang yang membawa agama dianggap sebagai ketinggalan zaman. Sebabnya kita tidak gunakan situasi sebagai peluang.” Pintas Izwan menyokong kenyataan Firdaus.

Firdaus memetik jarinya, “Ubah cara pemikiran. Revolusi Minda Kreatif. Tetapi jangan gadai syariat.” Firdaus kembali tersenyum. Kekal dengan pesannya untuk menjaga syariat.

Izwan juga turut tersenyum.


*****

“Izwan. Kita sudah siapkan tiga scene. Ada lagi dua scene yang kita masih belum selesai.” Suara jurukameranya menghentikan lamunannya.

Ingatan Izwan kembali ke tapak penggambaran.

Kini, Izwan dan Unit Penerangan & Informasi yang bernaung di bawah NGO IDEALISME sedang menjalankan sebuah penggambaran drama pendek mereka. Sebuah drama yang memfokuskan kepada pengertian ukhwah dan cabaran yang sering dihadapi di dalam berukhwah. Penerbitan drama pendek itu ditaja juga oleh syarikat CreativeMind Revolution Sdn Bhd yang dikendalikan oleh Nazrul Hakimi, sahabat baik Firdaus yang diperkenalkan kepada Khairil Izwan.

Lantas dia teringat akan pesan Firdaus.

Tidak semua manusia macam kau. Tidak semua manusia macam kita. Sebab itulah kita perlukan satu pemikiran yang kreatif untuk membentuk manusia. Pemikiran yang mampu menjengah setiap manusia yang berbeza karektornya. Dan disatukan untuk menuju kepada yang Maha Satu.”

Inilah ‘Minda Kreatif’ yang sedang diaplikasikan ke dalam bidang yang dikuasainya untuk manfaat manusia. Suatu perubahan terhadap dunia penerbitan dan multimedia. Untuk menarik lebih ramai manusia mendekati dan menghayati Islam, perlu dilakukan seperti konsep ‘Sebuah bangunan yang berdiri kukuh’. Tentukan arah kehidupan dan pasakkan tapak asas kefahaman. Yang lain akan menyusul kemudian, perlahan-lahan. Tetapi masih di dalam landasan.

Izwan memerhati jurukameranya dengan senyuman.

“Baiklah semua.” Dia bangun dan berkata kepada semua kru yang ada di situ. “Kita berhenti di sini dulu untuk hari ini, kita sambung selepas usrah kita petang esok, di sini.” Kata Izwan. Rubik berada di sebelah tangan kirinya kini.

Sesi penggambaran itu ditangguhkan dengan Tasbih kifarah dan Surah Al-Ash. Lalu dia bersama-sama kru-krunya mengemas peralatan yang mahu disimpan.

“Inilah dia proses Revolusi Minda Kreatif yang sedang berjalan.” Bisik hatinya perlahan. Terukir senyumannya.

Pada masa yang sama Izwan terfikir untuk babak sedih drama pendeknya, dia akan masukkan lagu minus one kumpulan Korea Beast yang bertajuk On Rainy Day. Lagu itu mampu menyentuh perasaan manusia yang mendengarnya dan ianya pasti memberi impak kepada penonton dramanya kelak. Lagu itu juga pastinya akan membantu menyampaikan mesej ukhwah dengan berkesan. Hanya minus one, tiada suara penyanyi utama atau suara latar.