Pages

Subscribe:

Tuesday, October 26, 2010

Isteri Impian


“Kau mahu isteri yang bagaimana?” Lontaran soalan Faizal mematikan pergerakkan Huzami. Huzami memandang Faizal sekilas.

“Kalau kau, kau mahu yang bagaimana?” Soalan Faizal dipulangkan.

“Mestilah aku mahu yang solehah?” Jawabnya sambil tersengih.

“Kau sudah cukup soleh untuk mendambakan seorang isteri yang solehah?” soalan susulan Huzami lontarkan membuatkan Faizal berfikir. Kali ini riak wajahnya berubah. Wajah gundah dan resah. Senyuman pada wajahnya sebelum ini beralih ke wajah Huzami. Huzami pula yang tersengih ketika ini.

“Subuh senang bangun? Al-Quran selalu baca?” soal balas Huzami. Faizal masih lagi kelu. Terukir senyuman lalu dia ketawa. Huzami yakin Faizal tahu hakikat diri.

Suasana diam seketika.

“Kau pula mahu yang bagaimana?” soalnya pula. Kali ini Huzami pula berada di posisinya. Posisi disoal balas.

“InsyaAllah, jika diizinkan. Aku mahukan yang indah mata melihat, boleh menjaga solat dan mampu menutup aurat.” Huzami memandang ke arah wajah Faizal. Menanti reaksinya. Riak wajahnya seakan-akan ingin mengenakannya. Kemungkinan besar Faizal akan melemparkan semula ayat tersebut kepada Huzami.

“Kenapa pilih wanita yang indah mata melihat, boleh menjaga solat dan mampu menutup aurat?” senyuman Faizal semakin lebar. Huzami juga turut tersenyum kerana dia tahu apa yang mahu dilakukan oleh Faizal.

“Senang untuk aku pimpin dia.” Jawabnya ringkas.
“Sebelum kau mahu memimpin bakal isteri kau, kau sudah cukup kuat untuk memimpin diri sendiri?” soalnya mematikan hujah Huzami. Senyuman mereka berdua sama lebarnya.

“Subuh senang bangun? Al-Quran selalu baca?” soalnya lagi lalu berderai tawanya tanpa ditahan. Akhirnya mereka berdua ketawa. Memecah kesunyian pada waktu itu.

Mereka sedar hakikat diri mereka. Semuanya inginkan pilihan yang terbaik, namun diri sendiri belum cukup baik untuk mendamba pilihan yang terbaik itu.

Sabda Nabi SAW: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia, iaitu (memiliki) perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik dan kenderaan yang bagus.” (Riwayat Ibnu Hibban)

“Aku mahu perempuan yang bertudung labuh. Solehah. Masa depan anak-anak nanti cerah.” Kata seorang teman dengan yakinnya. Dari segi pemakaiannya, tidak perlu diperkatakan lagi. Hanya berseluar pendek, rambut juga sudah berubah warna. Sedangkan hatinya menginginkan belaian dari seorang wanita berstatus solehah. Yang mampu membawa kebahagiaan kepadanya. Mungkinkah?

Isteri impian adalah Isteri Solehah. Isteri Solehah adalah isteri idaman semua insan, baik yang kurang berakhlak mahupun yang baik akhlaknya. Semuanya memasang angan-angan yang sama. Namun, kebanyakkan dari mereka terlupa bahawa bakal isteri mereka adalah siapa diri mereka.

Memang benar Allah telah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 26 yang menyatakan perempuan jahat untuk lelaki jahat manakala perempuan baik untuk lelaki baik, begitu juga sebaliknya. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh berusaha untuk mendapatkan yang terbaik.

“Alah, aku jahat. Mesti isteri aku juga jahat.”
“Dulu aku selalu keluar dengan ramai lelaki, mustahil aku boleh dapat suami yang beriman.”

Jawaban mudah, cubalah untuk menjadi baik. Kisah-kisah ‘jahat’ yang lalu dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan buat kita agar kita tidak melaluinya sekali lagi. Cukup hanya sekali. Masa hadapan, kita seharusnya berusaha untuk menuju ke arah hidup yang lebih baik. Benar. Jawabannya memang mudah, hanya sebaris ayat “cubalah untuk menjadi baik”, tetapi perjalanan dalam menjadi individu baik itu memerlukan pengorbanan dan ketabahan yang berliku-liku jalannya.

Masing-masing mengharapkan dapat memiliki pasangan hidup yang terbaik untuk diri. Apa yang diperolehi, maka bersyukurlah. Mungkin si dia yang kita miliki itu bukan yang terbaik jika mahu dibandingkan dengan semua wanita, tetapi dia adalah yang terbaik untuk diri kita. Penyempurna dan penyeri hidup kita. Ketahuilah bahawa isteri kita adalah siapa diri kita. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Itulah yang terbaik untuk kita.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Ar-Ruum : 21)

Ayuh kita berfikir! Benarkah isteri kita adalah siapa diri kita? “Allah menciptakan untuk kaum lelaki dari jenis kamu sendiri”. Tujuannya untuk apa? “supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan”. Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Isteri impian. Masing-masing sudah tersedia ciri-ciri isteri yang diinginkan. Menginginkan Isteri Impian, jadilah terlebih dahulu kita sebagai Suami harapan. Mampu memimpin dari segi jasmani dan rohani. Mampu membimbing dari segi akal dan hati, rasional dan emosional. Suami sejati yang perlu ada di dalam diri.

Soal kembali pada diri. “Subuh senang bangun? Al-Quran selalu baca?” Jika kedua-dua ini pun masih merangkak. Bukanlah bermakna tiada peluang untuk kita. Cuma peluang itu masih belum terbuka luas. Perjalanan dalam menujunya pun kurang jelas. Ayuh! Mulakan latihan dengan berusaha keras. Latihan yang lebih kemas. Supaya kita tidak terus lemas dalam impian yang hampir terlepas.

“Apa ciri-ciri wanita yang kau mahukan untuk dijadikan sebagai seorang isteri?” soal Huzami kepada Faizal. Menyambung perbualan yang terhenti sebentar tadi. Setiap manusia pastinya mempunyai ciri-ciri yang diingini dari seorang wanita untuk dijadikan sebagai seorang isteri. Begitu juga dengan Huzami dan Faizal. Mereka juga mempunyai ciri-ciri yang diimpikan.

Faizal memalingkan wajah ke arah Huzami yang sedari tadi memerhatikannya. “mungkinkah ada wanita di dunia ini mempunyai empat ciri ini?” Faizal mengangkat empat jarinya dan dihalakan kepada Huzami.

Huzami mengangkat kening. Persoalan tanpa suara.

“Menjaga hubungan dengan Allah, menjaga hubungan sesama manusia, melakukan yang makruf, dan mencegah yang mungkar.” Kata Faizal, Huzami mengangguk-angguk kepala tanda faham. Dengan perlahan dia berkata,

“Ibarat gagak putih dikelilingi gagak hitam.”

“Maknanya tidak akan adalah?” Faizal kembali merenung wajah Huzami.

“Maksudnya?” Huzami mengembalikan persoalan Faizal.

“Wujudkah gagak putih?” soal Faizal. Sedari tadi hanya persoalan sahaja yang berkumandang. Satu soalan terlepas, satu soalan lagi dibalas.

“Bagaimana kalau aku katakan ‘Ibarat merpati putih yang dikelilingi gagak hitam’. Boleh tak kalau diibaratkan seperti itu?” bicara Faizal memecah kebuntuan. Mereka berdua tersenyum. Ada logiknya wanita seperti itu diibaratkan seperti ‘merpati putih dikelilingi gagak hitam’. Pasti ada, tetapi jarang bersua. Memang ada wanita yang mempunyai empat ciri ini dalam jiwa mereka, namun bilangannya hanyalah ibarat seekor merpati putih itu yang dikelilingi oleh banyak ekor gagak hitam di sekitarnya.

“Apa ciri-ciri ‘logik’ yang kau mahukan ada pada seorang wanita untuk dijadikan isteri? Isteri impian.” Dua jari telunjuk Huzami membuat bentuk pembuka dan penutup kata pada perkataan ‘Isteri impian’ itu.

Faizal tersenyum, “Pertama, Mesra dan mudah diajak berbicara. Kedua, memahami kerjaya suami dan sanggup membantu. Ketiga, menjadi penghubung antara keluarganya dengan keluarga suami.” satu persatu jari Faizal diangkat bagi mengira ciri-ciri yang disebutnya tadi.

”Tiga sahaja?” Soal Huzami.

”Empat ciri tadi, mampukah?” Faizal membalasnya dengan persoalan juga. Huzami tersenyum sendirian sambil menggelengkan kepala.

”Sebab dan musabab kau mahukan tiga ciri-ciri tadi ada pada seorang wanita?” Huzami membawa Faizal ke persoalan asal.

”Yang pertama, mesra dan mudah diajak berbicara. Isteri yang mesra boleh menenangkan hati si suami apabila pulang dari kerja. Gurauannya mendamaikan. Setiap kali dia berbicara, ada sahaja mutiara hikmah yang terpancar dari bibirnya. Kata-katanya menghilangkan masalah di tempat kerja. Membuahkan bunga-bunga cinta ketika berada di rumah. Senyumannya merealisasikan bidalan kata-kata Rumahku Syurgaku.” Faizal menjelaskan ciri yang pertama. Huzami tersenyum lebar mendengar ayat-ayat bunga yang dilafazkan Faizal.

”Senyum apa?” Faizal menampar bahu Huzami. Huzami pecah ketawa. Faizal juga terut ketawa. ”Jiwang betul kawan aku ni” Huzami membalas kata sambil terus ketawa. Faizal hanya memandang Huzami dengan lakaran senyuman di wajahnya.

”Kedua?” Soal Huzami kembali.

”Kedua, memahami kerjaya suami dan sanggup membantu. Pernah dengar, di sebalik kejayaan lelaki adanya seorang wanita di belakangnya?” Faizal memulangkan persoalan kepada Huzami.

”Pernah. Isteri membantu suami secara tidak langsung.” Huzami mengiyakan kenyataan Faizal.

Faizal mengangguk, ”Benar, isteri dapat membantu dari segi emosi dan inspirasi. Waktu suami buntu, isteri datang membantu.”

”Tapi, ada juga isteri yang hanya pentingkan diri sendiri. Katanya kalau sayangkannya, tinggalkan kerja tersebut. Suami pulang dari kerja, dia datang pada suami dengan seribu masalah. Sudahlah suami penat pulang dari masalah kerja. Dia pula menambah masalah. Huh!” Huzami mengeluh. Faizal mengangguk-angguk. Memang wujud isteri seperti itu. Bukan semuanya, tetapi kebanyakkannya.

”Didiklah wanita itu dengan sifat FAHAM terlebih dahulu. InsyaAllah, yang lain akan menyusul perlahan-lahan.” Faizal menunjukkan sifat kematangannya dalam berfikir. Dia teringat suatu hadis yang pernah diterokainya berkenaan isteri. "Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” (Riwayat Thabrani daripada Abdullah bin Salam). Perlahan-lahan juga dia teringat kata-kata sahabatnya, Syafiq suatu ketika dahulu. ”Hati perempuan sangat lembut. Perbetulkanlah salah silap mereka dengan hikmah dan mulakan dengan kaedah yang lemah lembut dan baik. Potensi dan peluang untuk mereka berubah ke arah kebaikan sangat besar jika kena dengan caranya. Sebesar potensi & peluang mereka berubah ke arah kebatilan juga. Dengan hidayah Allah, kita meneroka”.

‘Mampukah aku?’ monolog Faizal sendirian.

“Ketiga?” Soal Huzami mematikan lamunan Faizal.

Faizal menghentikan lamunannya, terus dengan ciri-ciri isteri yang diinginkannya. “Ketiga, dia menjadi penghubung antara keluarganya dengan keluarga suami. Hakikatnya apabila kita mendirikan rumahtangga, bukan hanya menyatukan dua orang insan, tetapi mempersaudarakan dua buah keluarga. Sebab itulah setiap perkahwinan yang dibina, perlunya restu orang tua kedua belah pihak.”

”Barulah kefahaman dapat mewujudkan keserasian.” Huzami memetik jari tanda setuju.

Faizal menyambung, ”Benar. Apabila ada keserasian, mudahlah untuk menyampaikan sesuatu amanat dari Allah. Tanggungjawab kita dan dia sebagai suami isteri dan juga hamba kepada Ilahi. Dia pun mudah memahami apa yang kita cuba sampaikan padanya kelak.”

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (Az-Zumar : 18)

Bicara Faizal dan Huzami terhenti disitu. Hanya tiga ciri yang diimpikan pun terasa sukar untuk dimiliki ada pada wanita masa kini. Yang ada hanyalah mementingkan diri sendiri, mendampingi hanya mahu dia difahami, tetapi tidak mahu cuba memahami. Sungguh! Isteri Impian hanya ibarat merpati putih dikelilingi gagak hitam. Namun, masih ada lagi sebenarnya wanita ibarat merpati putih ini, tetapi masih lagi perlu diperhiasi.

Persoalan awal kembali menjengah minda ini, “Subuh senang bangun? Al-Quran selalu baca?”

Tersenyum sendiri. Tertunduk malu. Bertanya pada diri sendiri. Aku tahu apa yang ada dalam jiwaku.

Tuesday, October 5, 2010

Sisih Sedih Pilih Pengasih


Jangan sedih-sedih
Yakin tangis pasti beralih
Jangan jiwa tersisih
Yakin hati masih bersih

Fikirkan diri insan terpilih
Keredhaan Allah untuk diraih
Dengan dugaan Tuhan Maha Pengasih
Jiwa tenang minda kan jernih


~Helme Zulkipli~
Selasa
2:10am
5 Oktober 2010


Monday, October 4, 2010

Nilai Akhlak Insani

“Woi! Kenapa bengong sangat kau ni?” Tamparan keras dilemparkan ke arah bahu temannya.

“Buat kerja gunalah kepala otak! Jangan guna kepala lutut!” bentaknya lagi. Kali ini kotak kosong kecil yang ada di sisinya ditendang ke arah temannya.

“Guna kotak ni. Tak pernah orang buat kerja guna kotak sebesar televisyen untuk simpan benda alah tu.” Katanya begitu lantang sehingga kedengaran satu bilik.

Semua orang sudah memandang ke arah mereka berdua. Bukannya marah, cuma dirinya sudah terbiasa dengan kelakuan tersebut. Bersuara lantang sehingga mampu didengari oleh semua orang. Tindakan yang sememangnya memalukan orang lain yang berada di sampingnya. Perbuatan yang tidak menggambarkan seorang berbangsa Melayu yang penuh dengan adab kesopanan. Juga tiada gambaran seorang Muslim yang berakhlak muliajiwanya.

Hati kecil temannya itu berbisik, ‘Jagalah akhlak wahai temanku’. Bisikan itu benar-benar menggambarkan bahawa dirinya sudah berkecil hati dengan akhlak temannya.

Akhlak! Ya! Akhlak! Akhlak sungguh berkaitan dengan adab. Akhlak yang indah membuatkan segala kerja menjadi mudah. Akhlak yang mulia juga akan membuatkan orang lain percaya. Percaya dengan dirinya, percaya dengan tindakannya, sekaligus menggarapkan keyakinan yang menyeluruh kepada insan yang mempunyai jiwa berakhlak ini.

Seorang Rasul begitu mudah diterima oleh orang ramai kerana akhlaknya. Seorang Rasul begitu dipercayai kerana mulianya akhlaknya. Seorang Rasul yang diyakini kerana begitu indahnya akhlaknya. Dakwahnya sungguh terkesan kerana lisannya sentiasa dibandingi dengan perbuatan oleh setiap insan. Sebab itulah Allah s.w.t menurunkan ayat kedua dalam surah Ash-Saff dalam bentuk persoalan. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya kata-kata yang diiringi dengan perbuatan. Akhlak akan memancing kepercayaan.

“Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak kerjakan?” (Ash-Saff : 2)

Bagi orang yang berkata-kata dan dirinya begitu teliti tentang akhlak, pasti dia mudah untuk dipercayai. Inilah resminya. Bagaimana dengan kita? Siapa kita?

“Alah! Kita bukannya Rasul. Mana boleh kita menandingi akhlak Rasulullah.”

Benar. Kita bukannya Rasulullah, tetapi kita adalah Khalifah. Khalifah tugasnya membawa risalah Rasulullah. Membawa pesanan dan wasiat Rasulullah untuk manusia terus beribadah kepada Allah. Bukankah manusia itu telah diberi jawatan sebagai khalifah? Diciptakan pula untuk beribadah kepada Allah?

Allah pernah berfirman di dalam surah Al-Baqarah pada ayat 30 tentang penciptaan manusia kebagai Khalifah. Juga pada surah adz-Dzariyaat pada ayat 56 berkenaan peribadatan manusia dan jin hanya kepada Allah.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi...” (Al-Baqarah: 30)

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (adz-Dzariyaat: 56)


As-Syahid Imam Hassan Al-Banna juga pernah berkata bahawa kita ini bukanlah pemula, kita bukan juga yang terakhir. Tetapi kita adalah mata rantaian dan penyambung kepada perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah saw. Ini bermakna kita adalah pembawa risalah Rasulullah.

Apa yang Rasulullah lakukan, lisankan, serukan dan sarankan perlu kita sampaikan dan ajarkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Kita adalah Khalifah. Sebab itulah akhlak indah Rasulullah itu perlu kita semaikan ke dalam jiwa-jiwa mukmin supaya ia mampu memberi keyakinan kepada orang lain dan memperolehi kepercayaan dari mereka untuk bersama menggegarkan dunia ini dengan kebangkitan semula Islam di muka bumi ini.

“Konstantinopel itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya.” - Hadis Riwayat Hakim, Bukhari dan Imam Hanbal.

Itulah Hadis berkenaan janji Rasulullah kepada sahabat dan umat. Ia sememangnya benar-benar berlaku di mana Konstantinopel telah berjaya dibebaskan oleh seorang pemimpin yang sebaik-baik pemimpin iaitu Sultan Muhammad al-Fateh pada 1453M.

Mengapa sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera sahaja yang dapat menguasai dunia? Ini adalah jelas mengatakan bahawa Islam itu tinggi dan kita perlu buktikan dengan perbuatan kita bahawa Islam itu memang tinggi. Kita seharusnya telahpun berada di dalam perjalanan untuk membuktikannya. Cahaya kebenaran itu tidak akan padam. Apabila kita berhenti dari membawanya, Allah akan menggantikannya dengan orang lain.

Kunci dalam proses pembuktiannya adalah akhlak. Jaga akhlak, perlihara adab. Akhlak dan adablah yang akan menjadi kunci bagi membolehkan pintu kepercayaan dibuka. Dan kepercayaan itu akan melahirkan keyakinan bagi membentuk kekuatan untuk menguasai dunia sekaligus akan menempatkan semula Islam di 2/3 dunia seperti sebelum ini. Tanpa akhlak, tiadalah kepercayaan. Tanpa kepercayaan, tiadalah jua keyakinan. Dan usaha menggegarkan dunia dengan kebangkitan Islam yang diimpikan akan menjadi tidak keruan dan tiada berhaluan. Semuanya saling berkaitan.

Pernah dengar kisah pengembala kambing dengan serigala? Pasti pernah. Kisahnya bermula dengan seorang pengembala kambing membawa kambing-kambingnya untuk meragut rumput di atas bukit. Dirinya berniat jahat untuk menyakat orang-orang kampung, lantas dia menjerit-jerit meminta tolong bahawa kononnya serigala datang membaham kambing-kambingnya. Apabila orang-orang kampung datang ingin menolongnya, dia ketawa berdekah-dekah. Orang kampung tertipu dengan lakonannya. Jelas, pengembala kambing itu tidak berakhlak dengan memperdaya orang-orang kampung tersebut.

Langit tidak selalu cerah, hati tidak selalunya ceria. Bak kata orang tua-tua, apa yang kita guraukan itulah yang sering menjadi kenyataan. Serigala menjelma lalu menerkam kambing-kambing pengembala kambing ini. Pengembala kambing itupun menjerit-jerit meminta tolong. Bersungguh-sungguh meminta tolong. Kali ini kambing-kambingnya benar-benar dibaham oleh serigala. Ini betul-betul. Bukannyalakonan. Tidakkah mereka mendengar jeritan si pengembala kambing itu?

Mereka mendengar jeritan itu. Namun, kepercayaan mereka telah direntap oleh sikap tidak berakhlak si pengembala kambing tersebut. Inilah akibatnya jika tidak menjaga akhlak dan adab. Kepercayaan hilang, keyakinan jua turut hilang. Bagaimana untuk menguasai kembali 2/3 dunia jika umatnya tidak dipercayai dan tidak diyakini lagi?


Jagalah tutur kata. Jagalah penampilan. Jagalah perbuatan. Ayuh! Kempen menjaga akhlak.