Pages

Subscribe:

Saturday, August 29, 2009

Hembusan Kasturi


Inspirasi dari lagu ‘Hembusan Kasturi’ nyanyian Inteam

“Nasyid sekarang ni dah tak jelas matlamatnya. Seolah-olah nak mencari publisiti. Ciri-ciri dakwah dah tiada dalam bidang nasyid sekarang. Jadi, aku nak kau keluar dari kumpulan nasyid kau tu.” Tiba-tiba Nasrul bersuara. Aku terpanar dengan kenyataannya. Jika Nasrul hanya melontarkan pendapatnya sahaja, aku tidak mengambil kisah. Akan tetapi dia menyuruh aku meninggalkan nasyid. Aku keliru.


“Kenapa?” Aku inginkan kepastian.


“Macam yang aku kata tadi. Masuk nasyid sebab nak cari glamor. Platform nak cari kekasih saja. Dakwah apa macam tu?” Tegas Nasrul.


“Tapi, tak semua macam tu, kan?” Aku cuba pertahankan tindakan aku.


“Semua ke bukan semua ke, aku nak kau keluar dari kumpulan nasyid tu. berdakwah dengan aktiviti kelab kita je sudah. Berdakwah dengan cara bernasyid dah tak berkesan. Tengoklah apa yang dah jadi pada Faisal Tahir? Dulu kumpulan nasyid Mirwana, dia masuk OIAM terus jadi penyanyi rock. Dr Izu dari Saujana dah jadi lembut. Faizal dari Far East dah masuk Akademi Fantasia. Amende tu kalau bukan nak glamour?” tiba-tiba nadanya berubah menjadi tinggi. Aku diam seketika menantikan apa yang mahu dikatakannya lagi.


“Tak payahlah nasyid-nasyid ni. Matlamat yang tidak jelas. Berdakwah dengan bernasyid dah tak releven. Aku tak nampak relevennya.” Lagak gayanya begitu serius. Namun, aku kurang senang dengan caranya yang seolah-olah begitu arif dengan uslub berdakwah.


“Tak salah kan kalau aku nak jadi seperti Hembusan Kasturi?” Lontaran kata-kata ku penuh tersirat.


“Jadi Hembusan Kasturi?” Raut wajahnya bagai mempunyai seribu persoalan yang ingin dilontarkan.


“Kau hanya pandang nasyid dari segi luaran sahaja. Kau tak berada di dalamnya. Kalau kau sendiri yang berada di dalam arena nasyid, kau akan nampak relevennya. Macammana pandangan kau sekali pun, aku cuba terus berada dalam arena nasyid.” Bingkas aku bangun meninggalkannya keseorangan di situ.


Dalam hati aku memang tidak dapat dinafikan lagi. Begitu banyak lagu nasyid yang wujud sekarang ini kebanyakkannya bertemakan kasih dan cinta sesama manusia. Tatkala ada yang berhujah denganku berkenaan relevennya nasyid zaman ini, aku akan mati akal ketika hujah cinta sesama manusia yang dibangkitkan.


Melangkah lemah sambil memikirkan alasan yang boleh diterima minda. Bagi aku biar apa pun pendapat insan lain mengenai bidang nasyid, mereka seharusnya melihat bidang muzik yang lain terlebih dahulu sebelum arena nasyid dipersalahkan. Bagaimana dengan landasan irama rock? Rap? Balada? Apakah ini yang dikatakan berada di landasan yang betul? Mengapa nasyid yang perlu dilabelkan tersasar dari landasannya sedangkan mereka tidak bersuara langsung mengenai arena lain? Aku semakin bingung. Namun, apakah hujah yang boleh diterima untuk mempertahankan nasyid? Sedangkan orang yang dikatakan pendakwah pun tidak dapat menerima bernasyid sebagai uslub dakwah. Masih teringat kata-kata terakhirku pada Nasrul. Aku ingin jadi seperti Hembusan Kasturi.


Ya! Hembusan Kasturi! Irama nasyid umpama Hembusan Kasturi dan kewujudan aku di persada nasyid ini juga ingin menjadi seperti hembusan kasturi. Hembusannya mampu menyapa jiwa setiap insan terhidu akan harumannya. Begitu juga dengan alunan nasyid ini. Selembut suara merdu yang menusuk di jiwa, mengalunkan kata-kata berhikmah. Dengan harapan ianya mampu untuk membajai kekuatan diri sendiri. Kewujudannya juga boleh diumpamakan dengan seindah sang pelangi yang mewarnai bumi, menghiasi pentas dunia ini yang sebelumnya kehilangan sinar mentari. Biarpun pelangi hadir hanya seketika, sekurang-kurangnya pelangi itu ‘pernah’ mewarnai bumi.


Namun, apa yang kita perhatikan persada kesenian ini, terlalu banyak titik noda hitam yang berlegar-legar dan berkeliaran sehingga ada sesetengah artis yang sanggup untuk melepaskan kata-kata bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan mengatakan bertudung akan menutup periuk nasi sendiri. Berlakon dengan berpegang tangan antara lelaki dan perempuan terlalu biasa bagi mereka dan sanggup pula mereka mengatakan ulama dan ilmuan agama bertindak menghalang mereka berpegangan tangan adalah untuk menjatuhkan ‘kerja halal’ mereka.


Tidakkah mereka terfikir yang kata-kata mereka itulah yang akan menjadi hujah rakyat masa kini? Sehingga penghuni Malaysia pun sanggup mempertikaikan kecerdikan dan kewarasan para ilmuan agama. Perkara inilah yang membimbangkan kita semua. Atas alasan inilah jua aku berpendapat bahawa nasyid ini perlu diwujudkan dan dipertahankan bagi mewarnai kembali dunia yang semakin tidak berseri ini. Dengan mengalunkan alunan yang abadi, semerdu kalam Ilahi agar sekurang-kurangnya arena ini mampu memberi ketenangan di hati. Mendendangkan sadba dan selawat nabi melalui lagu dengan menjadikan sunnah Rasulullah sebagai contoh buat diri. Mendidik anak-anak kecil untuk menghafal doa-doa harian dengan berlagu. Dan pastinya kehadiran ini adalah untuk melengkapi kehidupan insani. Lihatlah bagaimana kewujudan Mu'adz yang tampil dengan lagu berpandukan hadis, bukankah jika kita dapat menghafal lagu-lagunya bererti kita sudah menghafal sebahagian hadis? Jadi, di mana ke’tidak releven’nya bernasyid ini?


Membangkitkan semangat juang dalam diri, mengalunkan selawat nabi, memperdendangkan doa-doa harian, berkasih dan bercinta di jalan yang dibatasi syariat, pembentukkan akhlak diri. Inilah yang dikatakan nasyid sebagai Hembusan Kasturi. Dan ia wujud bagaikan pelangi yang hadir menceriakan bumi yang dulunya kehilangan seri. Dan tidak mustahil, pelangi ini juga bakal hilang dari pandangan mata. Semoga kehadiran nasyid ini dihargai semua bagaikan terhidunya Hembusan Kasturi yang menghias diri.

Seindah Kata Sepahit Rasa

“Seindah kata, sepahit rasa”. Setiap bait kata yang terlafaz dari bibir kita tidak pernah sama dengan apa yang kita rasa. Kerana kata-kata yang lahir dari hati ini sering disertakan bersama imaginasi yang hanya indah-indah belaka. Mengenepikan segala sengsara. Dengan berfikiran ia mampu dihadapi jika kita yakin dengan janji-janjiNya. Saat ujianNya kian tiba untuk diberikan secebis janji kepada hambaNya yang yakin denganNya, di mana keyakinan kita? Saat itulah kita akan mempersalahkan takdir yang telah ditentukan. Dengan menjadikan faktor persekitaran sebagai penghalang kepada gerak kerja kita. Dengan membandingkan diri sendiri dengan orang lain. “Dia takpelah, dia tarbiyah tinggi. Aku? Waktu program, kena pumping 25 kali pun dah nak balik”. Dengan mudahnya kita mengalah dengan bicara yang telah kita lontarkan sebagai ‘Penguat Semangat’ kepada adik-adik atau mad’u kita sedangkan ia langsung tidak menjadi ‘Penguat Semangat’ pada diri sendiri. Di mana ‘Yakin dan Amal’ yang telah kita perlajari?


Berhati-hati ketika berbicara. Berhati-hatilah jua dengan nasihat yang akan kita berikan pada mad’u. Bimbang kata-kata kita tidak selari dengan apa yang kita bakal lalui. Kita perlu tahu bahawa kita sering diperhatikan oleh mereka. Lantaran itu, apakah keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap kita masih lagi di tahap terbaik atau sekurang-kurangnya di tahap memuaskan jika mereka terpandang kelakuan kita yang tidak sama dengan nasihat yang kita lontarkan pada mereka? Inilah yang dinamakan ‘Kepercayaan’. Kepercayaan orang lain terhadap kita. Juga amal dari apa yang kita fahamkan. Ada baiknya jika kita berbicara pada perkara yang berpijak di bumi yang nyata. Nasihat yang tidak terlalu jauh dari peribadi kita. ‘Kepercayaan’ juga membawa maksud ‘thiqah’.


Sebagai seorang penggerak dakwah, kita mesti menjaga kepercayaan orang lain terhadap kita. Namun, bagaimana dengan ujian yang diturunkan kepada kita untuk melihat samada selari dengan apa yang kita perkatakan? “Kau cakap bolehlah, cuba kau sendiri yang berada di tempat aku”. Tentu sukar bagi kita menjelaskan situasi sebenar apabila kita sendiri yang mengalaminya. Kita inginkan orang lain mendengar nasihat kita sebagai pedoman buat mereka sedangkan kita sendiri sukar untuk menerima kenyataan yang berlaku pada kita. Sesuatu perkara perlu dilihat sebagai ‘Dua Dimensi Dunia’. Atau ‘Pasti Ada Hikmahnya’.


Kenapa Tuhan berikan semula ujian itu kepada kita setelah Dia berikan ujian itu kepada orang lain? Pernahkah kita terfikir? Renungkan bicara Tuhan kepada kita sebagai hambaNya, "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: 155)". Beruntunglah bagi mereka yang bersabar dalam menghadapi cubaan dan dugaan yang hadir. “Hadapilah kesulitan dan kesengsaraan dengan senyum dan sabar semoga ia menjadi perisai dan penawar kepada cabaran dan halangan yang hadir ke dalam episod kehidupan.”


Tuhan telah berbicara kepada kita dalam ayat-ayatNya tentang kekuasaanNya dan janji-janji bagi orang yang tetap bersabar. Mengapa tidak kita pula berbicara dengan Pencipta melalui munajat di sepertiga malam? Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim berbunyi “Allah swt turun ke langit dunia ketika sepertiga waktu malam masih tersisa. Allah menyeru, adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu supaya Aku memenuhinya?”. Sesungguhnya, jika kita perhatikan ujian yang hadir pada ‘Dua Dimensi Dunia’, kita akan dapat mengecapi kenikmatan dalam kehidupan dan sekaligus menjadikan kita sebagai insan yang tahu bersyukur. Bersyukurlah, Bersabarlah dan Berpegang teguhlah kepadaNya.


Biarlah Aku Pergi

“Biarlah aku pergi”


“Mudahnya bibir mengungkap kata

Hakikatnya jiwa yang menderita

Pedih hati tidak terkira

Bagai diguris semahu-mahunya


Lantas apa lagi yang mahu diharapkan?

Mengharap pada kematian?

Mengharap hilang ingatan?

Mengharap pada kemalangan?

Hanya atas sebuah alasan

Si dia tidak dapat dilupakan.


Mengapakah wajah itu hadir kembali?

Walau kenangannya dilontar sejauh langit dan bumi

Mengapa kenangan itu diselami lagi?

Mengapa rindu masih menapak di hati?

Bibir kata tidak lagi menyintai

Tekad walau apapun yang terjadi

Jiwa dan raga tidak mahu menerimanya lagi


Tetapi hati sukar untuk menipu diri

Wajahnya masih tersisa di hati

Biarkanlah aku pergi

Kerana si dia tidak lagi berada di sisi

Kerana si dia tidak lagi aku miliki…


Dan ianya ditinggal berlalu,

Hakikat sebuah rindu…”


Hadiah Bernilai Di Hari Lahirku

“Menyambut hari lahir di Hari Konvokesyen UTHM ke-8”. Tidak pernah aku terfikir yang aku akan menyambut hari lahirku yang ke-24 di Majlis Konvokesyen ini. Biarpun tanpa sesi penyembelihan kek (wahaha), menerima segulung Ijazah juga merupakan satu hadiah yang tidak ternilai harganya. Alhamdulillah.. Allah masih memanjangkan usiaku untuk terus berbakti di bumiNya.


Pengorbanan ibu ayah serta seluruh ahli keluargaku dari Kulim-Kedah ke Parit Raja-Johor cukup membuatkan aku berasa amat gembira dengan perjalanan hidup ini biarpun pelbagai mehnah dan tribulasi hadir menyapa ketabahan diri.


Ini merupakan kali ketiga keluargaku menjejakkan kaki di Parit Raja. Pertama kali mereka menjejakkan kaki ke sini adalah pada tahun 2003 iaitu pada hari pendaftaran untuk aku bergelar seorang mahasiswa di peringkat Diploma. Kali kedua adalah pada tahun 2006 di Hari Konvokesyen ke-5 apabila tamatnya aku menyempurnakan peringkat Diploma dan 2009 adalah kali ketiga ketika menyempurnakan peringkat Ijazah Sarjana Muda.


Satu langkah lagi aku menuju ke hadapan. Menuju ke medan yang lebih mencabar minda dan jiwa setelah melangkah keluar dari alam kampus. Sekian lama aku berada di dalam ‘Aquarium Perjuangan’, diberi segala macam keperluan dan panduan. Kini, aku telah dibebaskan ke dalam laut yang cabaran dan halangannya tidak terjangkau di minda. Mengaplikasikan segala keperluan dan panduan yang telah diberikan di dalam kampus. “Dengan Hikmah Kita Meneroka” adalah motto untuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.


Menggenggam segulung Ijazah bererti satu permulaan untuk menghadapi cabaran yang lebih luas. Hari Lahir ke-24 bererti aku perlu bersedia dengan halangan yang lebih besar seiring dengan usiaku. Tetapkan dalam diri dengan matlamat yang jelas. “Aku Tahu Apa Yang Aku Mahu”. Aku berpesan pada diri, ini bukannya suatu pengakhiran kepada sebuah kejayaan, tetapi ini adalah satu permulaan untuk mencapai kejayaan hakiki di Hari Konvokesyen yang bakal berlangsung di Mahsyar nanti.

“Selamat Bergraduasi dan Selamat Hari Lahir Buatku....”